Mahasiswa perlu memainkan peranan mereka sebagai pelapis dan
tonggak pimpinan negara pada masa akan
datang. Mereka perlu sedar dan bangkit dari lena yang panjang kerana mereka adalah harapan negara dan bakal
menempuh pelbagai ujian dan cabaran yang getir. Masa kini, golongan mahasiswa
didapati kurang berpengetahuan di dalam soal politik negara kerana mereka
bersikap lepas tangan dan tidak ambil peduli.
Tidak kurang juga mereka yang terlalu obses akan politik sehingga
memakan diri sendiri dan akhirnya karam. Sikap mereka ini membimbangkan serta
akan merugikan negara dalam jangka masa yang panjang. Aset ini perlulah di jaga
demi membina masa depan negara yang mampan.
Kesedaran politik perlu didedahkan kepada mahasiswa agar mereka
celik dan bertanggungjawab di atas setiap tindakan yang mereka lakukan. Program
pencerahan politik dan Biro Tata Negara perlu di laksanakan supaya mereka
bangkit dari angan dan berpijak di bumi nyata.
Politik telah wujud di zaman pemerintahan Rasullullah S.A.W.
Manusia memerlukan kepimpinan dan cara kepimpinan yang benar berteraskan Al
Quran dan sunnah. Merujuk kepada pemerintahan Rasulullah S.A.W, politik adalah
di atas kesesuaian dan kepentingan ummah tanpa meminggirkan kemaslahatan
rakyat. Pendekatan ini boleh di guna pakai dan perlu di fahami oleh mahasiswa
sebagai tunjang negara.
Perlunya mahasiswa mendalami dan mengetahui erti politik sebenar
agar dapat berbakti kepada bangsa dan negara. Penglibatan mereka di dalam
politik perlu melalui saluran yang betul supaya tidak di pergunakan oleh
pihak-pihak tertentu dan merugikan diri sendiri.
Pilihan Raya Umum 13 hampir tiba, mahasiswa sewajarnya berfikir
secara rasional dan bertindak dengan wajar
sekiranya berminat untuk menglibatkan diri secara langsung di dalam
kempen politik, tanpa menyertai perhimpunan yang tidak berpermit. Pemikiran positif
dan sikap bersederhana perlu di terap di dalam jati diri mahasiswa.
Memberikan komitmen yang penuh kepada pengajian dan seimbang di
dalam pemikiran politik membantu mahasiswa maju ke hadapan tanpa membelakangkan
masalah dan keadaan politik negara dari masa ke semasa. Keutamaan perlu di berikan
di dalam pengajian untuk melahirkan generasi muda yang berilmu dan berwawasan
teguh agar dapat membela agama, bangsa dan negara.
Mahasiswa seharusnya peka terhadap keadaan semasa dan mengkaji cara
kepimpinan berasaskan strategi, produktif, inovatif dan bukannya bersifat negatif. Pemilihan
kerajaan akan menentukan hala tuju negara di masa akan datang.
Tidak taksub bukan bermakna menolak politik, tetapi membuat
tindakan bijak dengan bersederhana dan
menumpukan kepada pengajian agar dapat melahirkan bakal pemimpin yang inovatif
dan kreatif yang akan memacu momentum pembangunan negara selaras dengan
pembangunan insaniah.
No comments:
Post a Comment