selamat datang

kongsi kisah hati,,

Friday, 31 May 2013

Peranan mahasiswa

Mahasiswa perlu memainkan peranan mereka sebagai pelapis dan tonggak  pimpinan negara pada masa akan datang. Mereka perlu sedar dan bangkit dari lena yang panjang kerana  mereka adalah harapan negara dan bakal menempuh pelbagai ujian dan cabaran yang getir. Masa kini, golongan mahasiswa didapati kurang berpengetahuan di dalam soal politik negara kerana mereka bersikap lepas tangan dan tidak ambil peduli.
Tidak kurang juga mereka yang terlalu obses akan politik sehingga memakan diri sendiri dan akhirnya karam. Sikap mereka ini membimbangkan serta akan merugikan negara dalam jangka masa yang panjang. Aset ini perlulah di jaga demi membina masa depan negara yang mampan.
Kesedaran politik perlu didedahkan kepada mahasiswa agar mereka celik dan bertanggungjawab di atas setiap tindakan yang mereka lakukan. Program pencerahan politik dan Biro Tata Negara perlu di laksanakan supaya mereka bangkit dari angan dan berpijak di bumi nyata.
Politik telah wujud di zaman pemerintahan Rasullullah S.A.W. Manusia memerlukan kepimpinan dan cara kepimpinan yang benar berteraskan Al Quran dan sunnah. Merujuk kepada pemerintahan Rasulullah S.A.W, politik adalah di atas kesesuaian dan kepentingan ummah tanpa meminggirkan kemaslahatan rakyat. Pendekatan ini boleh di guna pakai dan perlu di fahami oleh mahasiswa sebagai tunjang negara.
Perlunya mahasiswa mendalami dan mengetahui erti politik sebenar agar dapat berbakti kepada bangsa dan negara. Penglibatan mereka di dalam politik perlu melalui saluran yang betul supaya tidak di pergunakan oleh pihak-pihak tertentu dan merugikan diri sendiri.
Pilihan Raya Umum 13 hampir tiba, mahasiswa sewajarnya berfikir secara rasional dan bertindak dengan wajar  sekiranya berminat untuk menglibatkan diri secara langsung di dalam kempen politik, tanpa menyertai perhimpunan yang tidak berpermit. Pemikiran positif dan sikap bersederhana perlu di terap di dalam jati diri mahasiswa.
Memberikan komitmen yang penuh kepada pengajian dan seimbang di dalam pemikiran politik membantu mahasiswa maju ke hadapan tanpa membelakangkan masalah dan keadaan politik negara dari masa ke semasa. Keutamaan perlu di berikan di dalam pengajian untuk melahirkan generasi muda yang berilmu dan berwawasan teguh agar dapat membela agama, bangsa dan negara.
Mahasiswa seharusnya peka terhadap keadaan semasa dan mengkaji cara kepimpinan berasaskan strategi, produktif, inovatif  dan bukannya bersifat negatif. Pemilihan kerajaan akan menentukan hala tuju negara di masa akan datang.
Tidak taksub bukan bermakna menolak politik, tetapi membuat tindakan bijak dengan bersederhana  dan menumpukan kepada pengajian agar dapat melahirkan bakal pemimpin yang inovatif dan kreatif yang akan memacu momentum pembangunan negara selaras dengan pembangunan insaniah.

No comments:

Post a Comment